Apple dan strategi pemasaran


Apple Inc dahulunya dikenali sebagai Apple Computer Inc ialah sebuah syarikat multinasional yang mencipta alat elektronik, perisian komputer dan lain-lain yang berkaitan dengan perkomputeran samada untuk kegunaan peribadi mahupun pelanggan komersil. 

Produk teras Apple Inc adalah terdiri daripada iPhone, alat pemain muzik iPod dan pelbagai jenis komputer Macintosh. Secara rasminya, Apple Inc ditubuhkan oleh pengasasnya Steve Jobs dan Steve Wozniak pada 1 April 1976. Produk pertama yang dicipta ialah Apple I

Syarikat diperbadankan pada tahun 1977. Selama 20 tahun seterusnya, Apple Inc adalah pengeluar terbesar komputer peribadi termasuk Apple II dan Macintosh dan rangkaian Power Mac. Walau bagaimanapun ia telah menghadapi gelombang kemelesetan jualan sekitar tahun 1990-an. Steve Jobs yang telah disisihkan pada tahun 1985 telah kembali menerajui Apple Inc sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1996 akibat daripada pengambil alihan syarikat beliau yang bernama NeXT oleh Apple Inc. Apabila dibawah tampuk pimpinan beliau pada kali ini, beliau mengetengahkan falsafah untuk melahirkan produk yang dikenali dan rekaan yang mudah. 

Pada tahun 2001, alat pemain muzik yang sangat diminati ramai iPod dikeluarkan. Kejayaan ini telah melonjakkan nama Apple Inc sebagai pengeluar alat elektronik konsumer yang teratas. Oleh sebab itu, nama syarikat ditukarkan daripada Apple Computer Inc kepada Apple Inc. Fenomena terbaru yang dilakukan Apple Inc ialah apabila ia mengularkan produk seperti iPhone, iPod Touch, dan yang paling terbaru iPad. Pada waktu ini Apple Inc adalah syarikat teknologi terbesar di dunia yang mencatat jualan mencecah AS60 bilion setahun.
Jadi bagaimanakah Steve Jobs dan pakar-pakar di Apple Inc bekerja sehingga boleh mencatat suatu kejayaan yang begitu cemerlang samada didunia teknologi mahupun pencapaian dengan syarikat dalam industri yang lain.

Strategi pemasaran adalah salah satu perkara yang diambil serius oleh Apple Inc. Mereka mempunyai strategi pemasaran yang unik dan tidak mahu terikut-ikut dengan strategi yang sudah baiasa diguna pakai oleh syarikat-syarikat lain. Di sini ayuh kita bincangkan beberapa strategi pemasaran yang unik yang diaplikasi oleh Apple Inc. Bukan sahaja Steve Jobs, pihak pengurusan, pakar-pakar dan jurutera teknologi, dan jurujual sahaja yang mesti memahami strategi pemasaran Apple Inc, malah pasukan khidmat pelanggan juga dikenakan syarat supaya sentiasa ingat dan amalkan perkara ini semasa mereka memberi khidmat kepada pelanggan Apple Inc.


Abaikan Kritikan

Tindakan yang agak tidak munasabah tetapi inilah yang diamalkan oleh Apple Inc apabila mereka mengeluarkan produk mereka. Pada kebiasaanya sebagai seorang usahawan, anda akan selalu diingatkan oleh orang bahawa untuk berjaya dalam perniagaan, anda perlu mendengar dan mengambil kira pendapat orang tentang apa yang mereka mahukan daripada sesuatu produk. Anda mesti bersabar dan melayan setiap komen yang diberi untuk mengubahsuai produk anda supaya diterima di pasaran. 

Akan tetapi Steve Jobs tidak menghiraukan perkara ini. Setiap kali berita tentang pengeluaran produk terbaru oleh Apple Inc, ramai yang akan mengkritik secara terang-terangan mahupun secara tidak langsung. Mereka akan melemparkan kata-kata yang boleh melemahkan semangat dan mengatakan bahawa produk tersebut akan gagal. Perkara ini berlaku semasa Steve Jobs mengumumkan bahawa Apple Inc akan mengeluarkan iPad yang merupakan produk yang lebih kurang iPhone tetapi bersaiz besar seperti komputer riba yang kecil. Mereka mengatakan bahawa produk ini adalah duplikasi kepada iPhone dan tidak berfikir bahawa sesiapa yang sudah mempunyai iPhone akan membeli iPad.
 
Tetapi siapa akan menjangka jualan iPad sebenarnya melonjak dan merekodkan antara jualan yang tertinggi semasa jika dibandingkan dengan penjualan komputer riba keecil berjenama lain. 


Tukarkan yang biasa-biasa kepada yang menarik

Setelah sekian lama, ramai pengguna komputer peribadi gemarkan cara membeli bahagian-bahagian dan perkakasan komputer mereka secara berasingan dan memasangnya dengan sendiri untuk menghasilkan sebuat komputer. Oleh kerana keadaan ini, kebanyakan pengeluar akan mengeluarkan perkakasan untuk dibeli oleh pengguna tersebut. 

Walau bagaimanapun, Apple Inc tidak mahu menjadi pak turut dan menjual perkakasan seperti syarikat lain. Apple Inc mempunyai strategi pemasaran yang lebih bersepadu. Mereka mencipta sesuatu produk yang tidak akan menyusahkan pelanggan untuk memasang perkakasan sendiri. Apple Inc bukan sahaja menjadi perintis untuk mengeluarkan sistem operasi yang seragam dan sistem komputer, mereka juga menjadi perintis untuk mengeluarkan produk dalam reka bentuk yang sangat menarik dan mesra pelanggan. Lihat sahaja betapa menariknya reka bentuk MAC air, iPhone , iPod dan lain-lain. 

Dikala syarikat-syarikat lain memberi fokus untuk mengeluarkan pelbagai perkakasan komputer secara berasingan, Apple Inc mengambil tindakan yang lebih bijak untuk membuat rekaan dan ciptaan secara menyeluruh bermula daripada perkakasan sehinggalah perisian produk. 


Harga yang wajar

Pada zaman teknologi sekarang ini, harga menjadi suatu faktor yang penting untuk difikirkan apabila sesuatu syarikat ingin memasarkan produk mereka. Ramai yang menganggap jika mereka menjual produk mereka pada harga yang lebih murah daripada pesaing, pelanggan pasti akan memilih untuk membeli produk keluaran mereka. Adakah kenyataan ini benar? Adakah strategi yang sedemikian diguna pakai oleh Apple Inc?

Tidak sama sekali. Apple Inc percaya kepada strategi yang berlainan. Murah kadang-kadang boleh melambangkan suatu produk yang kurang berkualiti. Kebanyakan produk keluaran Apple Inc berharga pada kebiasaanya dua kali lebih mahal daripada harga produk pesaing. Bagaimana pula produk keluaran Apple Inc yang lebih mahal boleh menarik pelanggan untuk membelinya. 

Jawapan kepada persoalan ini adalah kerana Apple Inc mencipta produk yang menarik dan pelanggan bukan sahaja menyukainya tetapi merasa ghairah untuk memilikinya. Mereka akan rasa sangat cemburu jika kawan mereka terlebih dahulu memiliki produk Apple Inc. Jawapan seterusnya kenapa pelanggan tetap akan membeli produk Apple Inc walaupun harganya mahal ialah kerana Apple Inc menetapkan harga yang wajar bersesuaian dengan ciri-ciri produk serta kepuasan yang pelanggan akan dapat apabila menggunakan produk keluaran Apple Inc.


Berkomunikasi dalam bahasa yang pelanggan fahami

Ramai orang mempunyai perasaan yang kurang yakin atau gementar apabila jurujual mengajukan soalan yang mereka tidak faham seperti bahasa jargon teknologi komputer dan telefon mudah alih seperti megabytes, giga hertz, kuasa pemprosesan dan lain-lain. Keadaan ini akan menyebabkan golongan pelanggan ini lebih suka memilih produk yang mudah mereka fahami dan senang untuk dikendalikan.
Apple Inc mengambil langkah untuk mengketengahkan maklumat yang pelanggan ingin tahu terlebih dahulu sebelum memberi maklumat yang lebih difahami oleh golongan yang fasih teknologi. Oleh sebab ini, pelanggan tidak akan merasa tertekan semasa membeli produk keluaran Apple Inc.


Pengalaman yang berpanjangan

Pernahkah anda melihat berapa ramai orang yang merekodkan pengalaman mereka semasa membuka kotak produk keluaran Apple Inc yang mereka beli? Di YouTube, terdapat beratus-ratus video yang telah direkodkan sebagai perkongsian berapa teruja perasaan seseorang setelah memiliki produk keluaran Apple Inc.

Fenomena ini tidak pula berlaku kepada golongan yang membeli produk elektronik dari jenama lain. Oleh itu kita dapat lihat bagaimana Apple Inc telah bertungkus lumus mengusahakan strategi supaya pelanggannya bukan sahaja gembira disaat membuat pembayaran dikedai tetapi perasaan teruja itu berpanjangan hingga mereka kembali kerumah, membuka kotak, dan amat tidak sabar sebenarnya untuk meneroka segala pengalaman yang akan mereka kecapi apabila mengguna produk keluaran Apple Inc. Pengalaman yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan sebenarnya!

Apple Inc sedar bahawa apabila seseorang telah membayar sejumlah wang untuk membeli satu produk, semestinya pelanggan itu mahu dengan secepat mungkin meneroka dan mengguna produk yang dibeli. Atas sebab ini, Apple Inc telah memastikan bahawa pelanggan tidak perlu bersusah payah untuk membuat pemasangan. Mesra pelanggan adalah apa yang Apple Inc ketengahkan setiap kali produk dicipta.


Apple mencipta satu kumpulan atau budaya tersendiri

Produk keluaran Apple Inc dimiliki oleh golongan tertentu. Kita boleh mengenalpasti golongan yang betul-betul meminati produk keluaran Apple Inc berbanding golongan yang memiliki produk keluaran jenama lain. Keadaan ini bukanlah terjadi secara sendiri atau rawak. Pencapaian ini sebenarnya berlaku oleh kerana Apple Inc mempunyai strategi pemasaran yang unik dan relevan untuk menyasarkan golongan-golongan tertentu sebagai pelanggannya.
Golongan yang mementingkan aplikasi dan penggunaan yang mudah akan memilih produk keluaran Apple Inc. Produk keluaran Apple Inc mempunyai ciri-ciri yang menarik dan sesetengahnya boleh dijadikan sebagai sesuatu bahan untuk digayakan. 

Contohnya, warna yang menarik yang dikeluarkan untuk produk iPod merupakan strategi untuk menarik golongan anak-anak muda untuk membelinya. Mereka akan membeli iPod berbanding dengan MP3 atau MP4 yang lain kerana iPod lebih menarik dari segi warna dan saiz.


Jadikan Apple jenama yang terkenal

Kita telah biasa dengan sitausi dimana apabila kita mahu membeli ubat gigi seseorang akan berkata dia mahu membeli colgate bukannya ubat gig. Begitu juga jika seseorang berkata bahawa dia hendak membeli Ridsect bermaksud dia sebenarnya hendak membeli ubat nyamuk.

Konsep dan strategi inilah yang diguna pakai oleh Apple Inc untuk menjadikannya sebagai satu jenama yang fenomena. Apa yang diusahakan kini adalah untuk mencapai objektif bahawa seseorang akan berkata saya hendak membeli iPod yang bermaksud dia sebenarnya hendak membeli alat elektronik MP3.

Mungkin kita akan fikirkan bahawa situasi ini amat sukar untuk terjadi. Tetapi tidakkah kita telah merasai sediki demi sedikit usaha yang dibuat oleh Apple Inc sudah berjaya. Jika anda bertanyakan sekarang kepada seseorang yang menggunakan iPhone jika dia akan bertukar kepada jenama yang lain seperti NOKIA dan lain-lain. Rata-rata akan mengatakan tidak. Terdapat ramai pengguna yang sudah selesa apabila mereka mula menggunakan salah satu produk keluaran Apple Inc, mereka akan tentunya membeli produk seterusnya yang juga keluaran Apple Inc.
Untuk memastikan kesinambungan kejayaan menjadi jenama pilihan, Apple Inc mengambil langkah untuk mengeluarkan applikasi dalam talian dan luar talian contohnya iTunes yang merupakan tempat pengguna dapat memuat turun permainan video atau lain-lain aplikasi samada secara percuma atau dikenakan bayaran yang sangat kecil. Pengguna tidak dibebani dengan kos dan kemudahan yang diberikan adalah hanya dihujung jari sahaja.

Bayangkan bagaimana iPhone yang sebenarnya bukan telefon mudah alih yang pertama dicipta tetapi dengan strategi dan rekaan yang unik, ramai yang tidak kisah untuk beratur panjang selama berjam-jam untuk menjadi orang yang terawal memiliki iPhone terutamanya apabila versi baru dikeluarkan. Ini juga berlaku kepada produk keluaran Apple Inc yang lain seperti iPod Touch, iMac dan iPad.

Secara kesimpulannya, sesebuah syarikat mesti mengambil langkah bijak untuk tidak mengikut arus persaingan yang sedia ada tetapi sebaliknya cuba untuk menjadi perintis. Semangat yang tekad dan kerjasama antara pihak pengurusan hinggalah kumpulan khidmat pelanggan amatlah penting untuk berjaya seperti Apple Inc.

Promosi Ramadhan

MininiagaPotato Spring, Spring Potato, Twist Potato, Tornado Potato, Spiral Potato, Kentang Spring - KentangSpring.comTwisto.my