Strategi pemilihan barang untuk dijual di Lelong dan eBay

 

Dikarang oleh   (Pakar Lelongan Online)

Terdapat pelbagai barangan yang diniagakan melalui portal Lelong dan eBay setiap hari. Sebahagian barangan ini amat popular sehingga mampu mendapat bilangan bidaan yang tinggi. Ini bermaksud potensi untuk barangan tersebut terjual adalah tinggi. Manakala sebahagian barangan lagi ada yang langsung tidak mendapat sebarang bidaan. Ini bererti kemungkinan tiada permintaan untuk barangan tersebut.

Sekiranya anda merupakan seorang penjual baru di portal Lelong atau eBay dan sedang tercari-cari apakah barangan yang sesuai untuk anda jual, tip-tips di bawah akan membantu anda membuat pemilihan yang bersesuaian, dan seterusnya mengaut keuntungan maksimum daripada perniagaan anda:

1. Minat Vs Permintaan
Ramai yang menasihatkan untuk mula memilih barang jualan berdasarkan minat anda, bertepatan dengan perumpamaan: “Choose something close to your heart”. Sebagai contoh, sekiranya anda peminat barangan sukan, anda mungkin memilih untuk menjual jersi bola, kasut sukan atau aksesori sukan. Dan sekiranya anda minat membaca, anda mungkin memilih untuk menjual buku terpakai, ebook atau buku terlaris di pasaran.

Akan tetapi, pemilihan barang berdasarkan minat semata-mata adalah tidak mencukupi. Anda perlu mempertimbangkan minat dengan permintaan pembeli. Sinergi antara minat anda dengan permintaan pembeli akan meningkatkan potensi barang anda untuk terjual di Lelong dan eBay.

Bagaimanakah untuk meninjau permintaan pembeli? Mudah saja. Anda cuma perlu melihat senarai “Hot Items” di laman web Lelong dan melihat senarai “eBay Pulse” di eBay dan anda boleh melihat senarai barangan yang mendapat permintaan dan bidaan tertinggi dari semasa ke semasa.

Ini bermaksud anda boleh menggunakan sistem Lelong dan eBay sendiri untuk mendapatkan hasil tinjauan yang tepat. Sebagai contoh, sekiranya anda peminat barangan sukan, dan anda melihat barang seperti jersi bola mendapat permintaan yang tinggi berbanding kasut sukan, anda mungkin boleh menumpukan kepada jersi bola sebagai barang jualan.

2. Sumber Barangan
Setelah anda mengenalpasti barang untuk dijual, anda perlu meninjau sumber-sumber yang ada untuk memudahkan anda mendapat bekalan. Barang tersebut boleh jadi barangan yang anda sedia miliki seperti buku-buku dalam koleksi anda, jersi bola terpakai, atau barang elektronik seperti kamera digital dan iPod. Barang tersebut juga boleh jadi barangan yang anda perlu beli daripada pembekal seperti kraftangan, kuih-muih kering atau barang permainan kanak-kanak.

Selain itu, anda boleh mempertimbangkan kaedah dropship iaitu anda mempromosi barang daripada pembekal tanpa perlu menyimpan stok. Apabila barang tersebut berjaya dijual dan anda mendapat bayaran daripada pembeli, barulah anda membeli barang tersebut daripada pembekal pada harga kos. Dan dalam sesetengah situasi, pembekal sendiri akan menguruskan pembungkusan dan penghantaran terus kepada pembeli. Ini bermaksud yang anda dapat menjimatkan masa dan tenaga tanpa perlu melakukan pembungkusan dan penghantaran sendiri.

3. Impak Kos
Tips berikutnya dalam pemilihan barang jualan adalah untuk menghitung impak kos. Ini adalah penting bagi memastikan anda mendapat pulangan yang sewajarnya daripada usaha penjualan anda. Dengan mengabaikan tip penting ini, anda mungkin mengalami kerugian dan bukannya keuntungan seperti apa yang anda harapkan.

Jadi, bagaimanakah untuk membuat perkiraan kos? Mudah sahaja. Anda boleh menggunakan formula ini:
Harga jualan – Harga kos = Keuntungan

Harga jualan ialah harga yang anda tetapkan untuk menjual barang tersebut kepada pembeli sekiranya anda menggunakan fungsi “BuyNow”, ataupun harga minimum yang anda tetapkan sekiranya anda menggunakan fungsi “Auction”.

Harga kos pula ialah perbelanjaan yang anda keluarkan untuk mendapatkan barang tersebut, yang termasuk harga barang daripada pembekal, kos petrol, caj tol, upah simpanan barang, kos promosi dan apa jua kos lain yang berkaitan dengan penjualan barangan anda. Secara lazimnya, harga jualan WAJIB melebihi harga kos, yang bermaksud anda mendapat keuntungan daripada penjualan tersebut. Cuma dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja anda boleh menetapkan harga jualan kurang daripada harga kos. Strategi ini akan saya terangkan di dalam kesempatan yang lain.

Sebagai seorang penjual yang bijak, anda perlu menetapkan margin keuntungan yang bersesuaian, seperti 20% daripada harga jualan atau RM50 sebagai margin keuntungan setiap barang yang anda jual.

Strategi penting di sini adalah untuk menjual barangan yang mampu memberikan margin keuntungan yang tertinggi untuk anda. Strategi ini akan membolehkan anda menjana keuntungan yang tinggi walaupun cuma menjual barangan dalam kuantiti yang sedikit.

Jika anda tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjual barangan yang mempunyai margin keuntungan yang rendah, maka anda perlu memfokuskan usaha anda kepada menjual barang tersebut dalam kuantiti yang banyak. Cuma dengan menjual dalam kuantiti banyak yang akan membolehkan anda untuk menjana keuntungan yang banyak.

4. Pembungkusan dan penghantaran
Tips terakhir yang anda perlu pertimbangkan adalah dari aspek pembungkusan dan penghantaran barang jualan anda. Sekiranya anda memilih untuk menjual produk digital seperti ebook atau perkhidmatan seperti terjemahan atau edit buku, mungkin tips ini tidak terpakai oleh anda kerana anda cuma memerlukan link untuk download ebook tersebut, ataupun dokumen kontrak perkhidmatan dengan pembeli anda.

Namun, sekiranya anda menjual produk fizikal seperti baju, barang elektronik, DVD atau barang permainan kanak-kanak, anda perlu memikirkan tentang kos serta cara pembungkusan dan penghantaran. Sungguhpun kos pembungkusan dan penghantaran barang tersebut biasanya ditanggung oleh pembeli, anda perlu memikirkan sama ada anda sendiri yang akan membungkus dan menghantar, atau anda akan “outsource” kepada orang lain untuk membantu anda membuat pembungkusan dan penghantaran tersebut. Ini sedikit sebanyak bergantung kepada keupayaan anda menguruskan jualan anda dari segi masa, tenaga dan kos.

Sebaik-baiknya anda menjual barangan yang mudah untuk anda bungkus dan hantar. Barangan yang sukar untuk dibungkus dan dihantar lambat laun akan menyusahkan anda sendiri sebagai seorang penjual dalam jangkamasa panjang.

Itulah dia, empat tips yang anda boleh gunakan dalam pemilihan barang untuk dijual di Lelong dan eBay. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda, dan semoga anda mendapat keuntungan maksimum daripada penjualan barang anda dengan mengaplikasikan tips-tips ini.
Salam hormat & salam kejayaan!

0 comments:

Catat Ulasan

Promosi Ramadhan

MininiagaPotato Spring, Spring Potato, Twist Potato, Tornado Potato, Spiral Potato, Kentang Spring - KentangSpring.comTwisto.my